Terserempak Lembaga Menghisap Darah
Pada hari kenduri perkahwinan di kampung ku, seorang lelaki dalam lingkungan umur 30-an menghidap penyakit sawan babi. Pada mulanya lelaki itu tidak pernah mencederakan orang tetapi apabila terlalu kerap kanak-kanak atau orang ramai mengusik, dia menjadi agresif. Lelaki itu mula naik angin.
Ketika lelaki itu mengamuk, dia mendapat sebilah pisau dan mengancam akan mencederakan sesiapa sahaja yang mengacaunya. Dia semakin hilang pertimbangan dan menikam lelaki yang cuba menghalangnya. Darah membuak-buak membasahi bawah rumah pengantin. Majlis kenduri tu menjadi riuh-rendah dengan jeritan jemputan.
Setelah ambulans datang dan jenazah dibawa pergi....darah yang melimpah tak sempat dicuci kerana waktu hampir senja. Semua jemputan telah lama meninggalkan majlis itu. Aku dan kawan-kawan ku yang lain beransur balik ke rumah setelah dipanggil ibu masing-masing untuk pergi mengaji Al- Quran.
Setelah selesai mengaji. kami pulang melalui rumah pengantin tadi. Aku berasa seram sejuk ketika menghampiri dengan rumah itu. Kebetulan malam itu bulan penuh kami tidak membawa lampu suluh. Kumpulan kami kesemuanya perempuan. Kami terus mempercepatkan langkah apabila melintasi rumah itu.
Apabila sahaja melintasi rumah pengantin itu, aku dapat rasakan keadaan yang sungguh menyeramkan. Rumah itu telah kosong kerana telah ditinggalkan pada malam itu juga. Alangkah terkejut dan terperanjatnya aku apabila ternampak satu lembaga yang menyeramkan sedang menjilat darah yang masih ada dibawah rumah.
Lembaga putih itu dengan rakusnya melahap darah. Ia menoleh ke arah ku dengan mulutnya yang penuh dengan darah. Aku terus pengsan. Apabila sedar, aku berada dirumah dikelilingi emak, ayah dan adik beradik yang lain.
Kesemua yang lain bertanya punca aku pengsan. Aku lantas bertanya kawan-kawan yang lain sama melihat apa yang aku lihat tetapi mereka kata tidak.
Aku terus menceritakan kejadian yang telah ku lihat. Setelah kejadian itu, timbul pula cerita lain yang kononnya melihat lembaga melahap darah serta jeritan halus dari rumah pengantin yang telah ditinggalkan.